Berita

   

Tuisyen guru pakar dari rumah
(petikan berita Kosmo, 23hb Disember 2010)

Kuala Lumpur – Bebanan ibu bapa bagi meningkatkan tahap kecemerlangan pelajaran anak-anak kini boleh diselesaikan dengan pengenalan inovasi produk Easytuition.

Produk pendidikan maya yang pertama kali di Malaysia itu dibangunkan oleh Integrated Commerce Sdn. Bhd. (ICSB) dan ia merupakan kaedah alternatif pembelajaran untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pengarah Urusan ICSB, Kamaruzaman Asri berkata, melalui produk tersebut, ia mengurangkan beban kewangan dan pengurusan masa kepada ibu bapa. “Lebih baik lagi, pelajar akan dapat belajar dengan pengurusan masa yang terancang dan belajar secara berulang tanpa had melalui komputer yang akses Interner di rumah masing-masing,” ujarnya pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Kamaruzaman, orang ramai boleh mengakses laman web EasyTuition di www.easytuition.net mulai 1 Januari ini dan dijual pada harga serendah RM30 hingga RM70 bagi setiap satu subjek untuk setiap sesi persekolahan.

“Sepanjang tempoh tersebut, pelajar boleh membuat ulang kaji tanpa had hingga benar-benar faham mengenai subjek tersebut menerusi akses kata kunci yang diberi bagi laluan ke laman web,” katanya lagi.

 

Bagi murid tahun enam, katanya, mereka boleh melayari dan menggunakan produk tersebut mulai 1 Februari manakala pelajar tingkatan tiga dan lima pula boleh melayarinya bermula 1 Mac 2011.

Sementara itu, perunding pendidikan ICSB, Rosli Shuib menjelaskan, para guru yang dipilih berpengalaman dalam bidang masing-masing termasuklah beberapa guru pakar. “Minimum pengalaman guru tersebut adalah tujuh tahun mengajar. Justeru, barisan guru yang terlibat ada yang mempunyai pengalaman mengajar sehingga 30 tahun malah ada yang terpilih sebagai guru cemerlang serta Guru Inovatif peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Tambahnya, sehingga kini, seramai 17 orang guru terlibat secara aktif dalam memberi input serta terlibat dalam rakaman pembelajaran. Di samping itu, silibus yang terkandung di dalam EasyTuition juga mengikut sepenuhnya peratus silibus sepanjang tahun yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran.

“Produk ini juga boleh membolehkan ramai ibu bapa mengikuti bagaimana penyampaian sesi setiap tajuk di sekolah disampaikan dan mereka boleh menjadi tutor kepada anak-anak sendiri,” katanya.

     
KAMARUZAMAN (tengah) menunjukkan produk EasyTuition di Kuala Lumpur semalam