Berita

Labur RM2j bangunkan EasyTuition
(petikan berita Harian Metro, 27hb Disember 2010)

SYARIKAT penyedia perkhidmatan teknologi maklumat (IT) penuh milik Bumiputera, Integrated Commerce Sdn Bhd (ICSB) melabur RM2 juta bagi membangunkan produk pendidikan tuisyen maya, EasyTuition membantu pembelajaran pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini.

Produk tuisyen maya yang pertama berada di pasaran tempatan diperkenalkan bagi membantu pelajar mendapat pendidikan kelas tambahan secara persendirian bagi mengatasi pemasalahan pembelajaran membabitkan pelajar yang ramai di dalam kelas.

Pengarah Urusannya, Kamaruzaman Asri berkata, berbanding dengan kaedah tuisyen lain, EasyTuition dapat membantu ibu bapa mengurangkan beban kewangan kerana ia lebih murah dan berpatutan.

 

“ICSB mengambil inisiatif membangun dan menyediakan produk pendidikan lengkap dengan objektif membantu keluarga memenuhi keperluan tuisyen secara online yang mampu milik dan berkesan.

“Kami percaya produk tuisyen secara maya dapat membantu pelajar belajar dengan pengurusan masa terancang hanya dengan melanggan mata pelajaran yang diperlukan dengan harga serendah RM30 setahun tanpa perlu menghadiri kelas tuisyen,” katanya selepas pelancaran produk itu, semalam.

Menurutnya, produk itu akan berada di pasaran pada awal Januari tahun depan dengan mengakses laman web www.easytuition.net.

     
LANCAR...Kamaruzaman(empat dari kiri) bersama guru memperkenalkan EasyTuition.