Berita

   

Alternatif tuisyen dalam talian

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my

     

ANAK-ANAK umpama kain putih yang perlu dicorak dengan penuh warna-warni agar mempunyai masa depan lebih cerah dan menjadi manusia berguna apabila meningkat usia dewasa kelak.

Titik permulaan bagi memastikan anak-anak mengecapi kejayaan dalam kehidupan mereka adalah menyediakan pelajaran yang berkualiti dan bermutu tinggi di peringkat akar umbi lagi.
Dengan kejayaan diperoleh dalam pelajaran kelak, anak-anak mampu menggapai cita-cita mereka sehingga ke menara gading sekali gus dapat menyumbang bakti kepada negara, agama dan bangsa.

Sudah menjadi satu trend hari ini, ibu bapa tidak hanya menghantar anak-anak menuntut ilmu di sekolah bahkan, melengkap dada anak-anak dengan ilmu tambahan di kelas tuisyen.

 

Bagaimanapun, bebanan kewangan dan keterbatasan waktu menyebabkan ada dalam kalangan ibu bapa tidak berkesempatan menghantar anak-anak mereka mengikuti kelas-kelas tuisyen yang ditawarkan di luar sekolah.

Menyedari keperluan mengisi kekosongan itu, Integrated Commerce Sdn. Bhd. (ICSB) membangunkan inovasi produk pendidikan alam maya, EasyTuition sebagai kaedah alternatif pembelajaran untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pengarah Urusan ICSB, Kamaruzaman Asri berkata, EasyTuition merupakan kaedah tuisyen secara dalam talian mencakupi proses pengajaran dan pembelajaran. Ia dibangunkan untuk memberi alternatif mengurangkan beban kewangan dan pengurusan masa kepada ibu bapa.

     

PENDIDIKAN bermutu tinggi mampu melahirkan modal insan masa hadapan. – Gambar hiasan.

     

“Ciri paling utama ditawarkan dalam produk EasyTuition adalah pembelajaran melalui video. Melalui kaedah ini pelajar dapat melihat dan mendengar penerangan topik-topik pembelajaran yang disampaikan oleh guru-guru EasyTuition.

“Pembelajaran secara video ini dijangka mampu menarik minat pelajar untuk mendalami apa yang dipelajari dengan lebih mendalam kerana mereka mempunyai kebebasan membuat ulang kaji beberapa kali hingga benar-benar faham mengenai subjek dipelajari,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Kamaruzaman menjelaskan, pembelajaran secara video yang ditekankan dalam EasyTuition membolehkan pelajar belajar secara berulang tanpa had melalui komputer yang ada akses Internet di rumah masing-masing.

 

Katanya, video pembelajaran EasyTuition berkualiti kerana sudah disunting dengan memasukkan pelbagai teknik dan elemen multimedia menarik. Ia untuk memastikan pelajar tidak berasa jemu ketika mengikuti kelas tuisyen di alam maya.

“Selain daripada pembelajaran secara video, pelajar juga boleh menjawab soalan kuiz, latihan, mendapatkan contoh soalan peperiksaan malah, dapat mencuba permainan di akhir topik dan banyak lagi.

     

TENAGA kerja ICSB bertungkus-lumus menyiapkan EasyTuition.

     

“Pelbagai bentuk dan format soalan ditawarkan untuk menilai pengetahuan serta mengukur prestasi pelajar-pelajar ini. Soalan juga disediakan bersama jawapan apabila dijawab, diperiksa dan diberikan markah dengan serta-merta melalui dalam talian,” katanya.

Tenaga pengajar berpengalaman

Kamaruzaman menambah, EasyTuition turut menyediakan akses kepada ibu bapa atau penjaga dalam memantau pembelajaran anak-anak di bawah jagaan mereka.

“Dalam sistem EasyTuition, ibu bapa atau penjaga akan diberikan satu akaun khas bagi tujuan memantau prestasi pembelajaran anak-anak secara talian.

“Sebagai contoh, sekiranya mendaftar tiga orang anak, pemantauan prestasi mereka dapat dilakukan hanya dengan menggunakan satu akaun,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar ICSB, Mohd. Sahly Mohamed Sani, berkata, EasyTuition menawarkan tuisyen seawal tahun satu sehingga tingkatan lima.
 

“Kesemua subjek teras bagi tahap-tahap yang berkenaan ada ditawarkan dalam produk alam maya ini.

“Bahkan, semua subjek ini diajar oleh guru-guru pakar seluruh negara yang begitu komited dan terlatih dalam subjek masing-masing,” katanya.

Mohd. Sahly memberitahu, setiap langganan EasyTuition bukan untuk tiga atau enam bulan sahaja tetapi untuk satu sesi persekolahan.
Sebagai contoh, katanya, jika mendaftar pada bulan Januari, langganan akan aktif sehingga tamat sesi persekolahan dalam tahun yang sama sekali gus dapat menjimatkan kos.

“Sebagai permulaan hanya pakej Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang ditawarkan kepada orang ramai.

     

PEMBELAJARAN secara alam maya kini mendapat tempat dalam masyarakat.

     

“Pakej Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijangka boleh dilanggan pada bulan April, manakala Penilaian Menengah Rendah (PMR) pula pada bulan Jun,” ujarnya.

Katanya, kesemua pakej pula dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2012. Sementara itu, perunding pendidikan ICSB, Rosli Shuib menjelaskan, para guru yang dipilih merupakan mereka berpengalaman dalam bidang masing-masing.

“Minimum pengalaman guru tersebut adalah tujuh tahun mengajar malah, ada yang terpilih sebagai guru cemerlang serta guru inovatif peringkat kebangsaan.

 

“Sehingga kini, seramai 17 orang guru terlibat secara aktif dalam memberi input serta terlibat dalam rakaman pembelajaran,” katanya.

Di samping itu, dia menambah, silibus yang terkandung dalam EasyTuition juga mengikut sepenuhnya silibus sepanjang tahun yang dibuat oleh Kementerian Pelajaran.

Katanya, produk itu juga membolehkan ibu bapa mengikuti penyampaian setiap tajuk di sekolah dan mereka boleh menjadi tutor kepada anak-anak sendiri.

Orang ramai boleh mengakses laman web EasyTuition di www.easytuition.net mulai 1 Januari lalu dan dijual pada harga serendah RM30 hingga RM70 bagi setiap satu subjek untuk setiap sesi persekolahan.