Berita

   

Labur RM2 juta

Oleh Shanty Nur Shaffizan
shantynur@hmetro.com.my

 
     

INTEGRATED Commerce Sdn Bhd menyasar 5,000 pelajar menyertai kelas tambahan atau tuisyen secara maya menerusi portal www.easytuition.net tahun ini sebagai alternatif kepada pusat tuisyen konvensional bagi mengurangkan beban kewangan dan pengurusan masa kepada ibu bapa.

Pengarah Urusannya, Kamaruzaman Asri berkata, portal yang dibangunkan sejak dua tahun lalu dengan pelaburan RM2 juta menawarkan tuisyen bagi subjek utama tahun empat, lima dan enam bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta tingkatan lima bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diajar guru berpengalaman dari seluruh negara.

 

 

“Sudah menjadi satu kewajipan bagi ibu bapa menghantar anak ke kelas tuisyen untuk melengkapkan anak dengan ilmu tambahan. Bagaimanapun, bebanan kewangan dan keterbatasan waktu menyebabkan ada dalam kalangan ibu bapa tidak berkesempatan menghantar anak mereka mengikuti kelas tuisyen di luar sekolah.

“Menyedari keperluan itu, kami membangunkan EasyTuition sebagai alternatif pelajar sekolah rendah dan menengah. Ia satu sistem pembelajaran menarik dan berkesan untuk meningkatkan prestasi pembelajaran. Pada masa sama, kemudahan Internet di Malaysia juga berkembang pesat seiring Inisiatif Jalur Lebar Nasional (NBI) yang membolehkan tuisyen dilakukan secara maya,” katanya.

     

 

     

Kamaruzaman berkata, ciri utama EasyTuition adalah pembelajaran melalui video dan melalui kaedah itu pelajar dapat melihat dan mendengar penerangan berkaitan topik pembelajaran yang disampaikan oleh guru di EasyTuition.

“Bagi memastikan pelajar tidak jemu, video pembelajaran EasyTuition disunting dengan memasukkan pelbagai elemen multimedia menarik serta berupaya mempercepatkan pemahaman. Selain pembelajaran video, pelajar juga boleh menjawab soalan latihan serta contoh soalan peperiksaan.

 

“Ibu bapa juga dapat mengikuti penyampaian setiap topik dan boleh berperanan sebagai tutor kepada anak dengan keselesaan di rumah sekali gus merapatkan hubungan kekeluargaan,” katanya.


Menurut Kamaruzaman, harga langganan setiap mata pelajaran serendah RM50 sehingga RM70 bagi satu sesi persekolahan. Harga ini mampu memberi penjimatan 80% berbanding kos tuisyen konvensional.